Resepi Rendang Dendeng Daging Batang Pinang

by Dilahouse.com

Resepi ini adalah dari Arwah Ibu saya. Kini saya cuba warisinya.
Saya masak ini di hari Raya Aidilfitri pertama tahun ini (21hb March 2026) sebab saya sendiri teringin nak makan masakan ibu saya yang dulu ibu saya masakkan untuk saya, adik-adik saya dan ayah saya. Sebenarnya saya hampir telupa dah resepi ini. Apa yang saya ingat, rahsia kesedapannya adalah biji ketumbar dan juga gula merah. Nasib baik adik perempuan saya pernah bertanya resepi ini daripada arwah ibu saya. Adik perempuan saya kongsikan resepi ini kepada saya, Alhamdulillah. Terima kasih adikku ๐Ÿ’•๐Ÿ’•๐Ÿ’• Saya tulis dalam ini untuk menjadi rujukan saya dan adik-adik saya. Risau akan datang saya terlupa… Senang je memasaknya.


Bahan-Bahan

Sila sediakan bahan-bahan ini:

Bahan Utama:
1 kg daging batang pinang
Kicap Jalen Lemak Manis

Bahan Untuk Kisar:
20 batang cili kering yang telah dibuang bijinya dan telah direbus
1 biji cili padi merah (jika nak rasa pedas; satu biji sahaja sudah cukup ya kerana cili padi merah memang tersangatlah pedas. Saya pulak jenis tak tahan pedas sangat. Haha)
6 biji buah keras
4 sudu biji ketumbar yang telah disangai
6 batang serai gemuk dihiris agak halus
2 inci halia
10 ulas bawang putih
8 biji bawang merah sederhana besar

Bahan Tambahan Ketika Menumis Bahan Kisar Untuk Dijadikan Kuah Dendeng:
Minyak masak untuk menumis bahan kisar
4 batang serai gemuk dititik
1/8 dari sebiji gula melaka; ikut sesuai rasa.. macam saya tak berapa makan manis sangat.. sehingga 1/4 dah paling maksimum.
1/2 cawan Kicap Jalen Lemak Manis
Garam secukup rasa

** Bahan-bahan ini saya gandakan sebab sebelum ini saya buat separuh, tetapi kuah dendengnya tak cukup. Jadi kering untuk 1kg daging batang pinang.
** Kos nak buat untuk 1kg rendang dendeng daging batang pinang ini mungkin dalam sekitar RM63.00. Masa saya beli daging batang pinang ini pada 18 March 2026, harga 1kg adalah RM48
** Nak guna daging pejal pun boleh juga. Tapi selepas hiris-hiris daging tu kena tumbuk bagi lembut. Atau mungkin boleh buat petua tertentu untuk lembutkan daging seperti di link ini: Petua Lembutkan Daging

Cara Membuatnya

A. REBUS & PERAP DAGING
Rebus 1kg daging batang pinang lebih kurang 30 minit. Angkat. Tunggu sejuk dan potong daging batang pinang yang telah direbus itu tadi kecil-kecil. Setelah itu letak Kicap Jalen Lemak Manis, gaulkan rata dengan daging, dan ketepikan.


B. KUAH RENDANG DENDENG

Kisar:
1. Kisar 20 batang cili kering yang telah dibuang bijinya dan telah direbus, sehingga lumat.
2. Masukkan 6 biji buah keras ke dalam cili tadi, kisar.
3. Campurkan 8 biji bawang merah sederhana besar, 10 ulas bawang putih, 2 inci halia, 6 batang serai gemuk yang telah dihiris agak halus serta 4 sudu biji ketumbar yang telah disangai, kisarkan sampai halus semuanya.

Tumis:
1. Masukkan minyak dalam kuali dan tunggu sehingga minyak panas.
2. Masukkan bahan kisar tadi (bahan kisar tu warna merah ya). Goreng hingga agak garing. Sentiasa kacau dengan sudip.
3. Masukkan kicap jalen lemak manis.
4. Masukkan juga 4 batang serai semuk dititik dan juga 1/4 dari sebiji gula melaka.
5. Gaul sehingga sebati.


C. RENDANG DENDENG DAGING by Dilahouse.com
Masukkan daging batang pinang rebus yang telah diperap dengan kicap jalen lemak manis ke dalam tumisan yang telah sebati tadi. Letakkan juga garam secukup rasa. Gaulkan sehingga benar-benar masak dan puas hati dengan teksture.

Siap. Boleh dihidangkan untuk makan.


Kesimpulan & Cadangan

Biasanya rendang dendeng daging adalah untuk makan di hari raya aidilfitri. Sedap dimakan begitu sahaja. Makan dengan nasi minyak atau juga nasi tomato, makan dengan pulut, makan dengan lemang.. Pergh… Memang sedap!


Harapan

Disebabkan saya share resepi ini di website saya, sekiranya ada pembaca yang ingin mencuba resepi arwah ibu saya ini, sila lah. Bagi saya ianya sedap. Semoga arwah ibu saya dan saya mendapat pahala yang berterusan. Dan, ketika menulis ini, saya terkenangkan, arwah ibu saya, ketika hayatnya dahulu, tak pernah lokek berkongsi resepi yang sebenar mengikut cara beliau masak jika ada orang bertanya beliau. Al-Fatihah. Aamiin.

Terima kasih.


Ditulis oleh,
WAN NURADILA HUDA BINTI WAN ZAIDON
M.Sc Real Estate, 2008, UTM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *