Apabila seseorang wanita berkata dia ingin berkahwin, ramai orang menyangka dia sedang mencari status, keselamatan, atau sekadar mengelakkan label “andartu”. Namun hakikatnya, bagi ramai wanita yang matang, keinginan untuk berkahwin sebenarnya jauh lebih sederhana dan lebih mendalam… mereka sedang mencari seorang kawan hidup.
Perkahwinan yang bahagia bukan sekadar dua orang yang tinggal sebumbung, tetapi dua orang yang boleh duduk bersama, berbual tanpa rasa bosan, dan memahami dunia masing-masing. Pada usia yang lebih matang, manusia biasanya sudah melalui pelbagai pengalaman hidup, iaitu kejayaan, kegagalan, kesunyian, dan pelajaran tentang diri sendiri. Oleh itu, apa yang dicari bukan lagi drama percintaan seperti dalam cerita romantik, tetapi ketenangan bersama seseorang yang boleh difahami.
Seorang suami yang baik bukan hanya pasangan romantik. Dia adalah orang yang boleh diajak berbual selepas hari yang panjang. Dia adalah teman yang menemani perjalanan ke pasar, ke kedai buku, atau minum kopi sambil berbincang tentang kehidupan. Dia juga tidak kekok menghulurkan secawan milo atau hot chocolate atau memasakkan bubur nasi halia ketika isterinya tidak sihat, sambil bertanya tentang keadaannya.
Perbualan-perbualan dan tindakan-tindakan kecil seperti inilah yang sebenarnya membina keindahan dalam perkahwinan.
Bukan sekadar suami memberikan duit yang banyak lalu membiarkan isteri pergi ke mana sahaja atau membeli apa sahaja yang dia suka. Bukan juga sekadar menghadiahkan beg tangan yang mahal tetapi hubungan terasa jauh dan hambar. Perkahwinan bukan hanya tentang kemewahan atau pemberian. Yang lebih penting ialah keakraban antara dua jiwa.
Ramai orang berkahwin, tetapi tidak semua benar-benar berkawan dengan pasangan mereka. Ada pasangan yang hidup bersama bertahun-tahun tetapi jarang berbual secara mendalam. Mereka berkongsi rumah, tetapi tidak berkongsi pemikiran. Dalam keadaan seperti ini, kesunyian masih wujud walaupun seseorang itu tidak lagi hidup sendirian.
Sebab itu, mencari suami sebenarnya bukan sekadar mencari lelaki yang sesuai… seperti pekerjaan yang baik, latar belakang yang baik atau umur yang sesuai. Yang lebih penting ialah keserasian sebagai manusia. Bolehkah mereka berbual dengan mudah? Bolehkah mereka ketawa bersama? Adakah mereka selesa menjadi diri sendiri di hadapan satu sama lain?
Apabila seorang wanita mencari suami sebagai kawan hidup, fokusnya juga berubah. Dia tidak lagi hanya bertanya, “Adakah lelaki ini mahu berkahwin dengan aku?” Sebaliknya dia mula bertanya, “Adakah lelaki ini seseorang yang aku boleh berbual dengannya selama bertahun-tahun tanpa merasa sunyi?”
Perkahwinan yang kuat biasanya lahir daripada persahabatan yang kuat. Apabila pasangan menjadi kawan hidup, mereka bukan sahaja berkongsi rumah, tetapi juga berkongsi perjalanan hidup, iaitu menyokong satu sama lain ketika susah, meraikan kejayaan bersama, dan menua dengan rasa tenang kerana mereka tidak berjalan sendirian.
Akhirnya, mencari suami bukanlah sekadar mencari seseorang untuk mengisi status perkahwinan. Ia adalah usaha mencari seorang manusia yang boleh menjadi teman perjalanan hidup iaitu seseorang yang berjalan di sebelah kita, berbual, memahami, dan terus bersama hingga ke penghujung jalan.

👁️ Artikel ini telah dibaca 9 views kali